Isnin, 21 Julai 2025
UTAMANASIONALTragedi UPSI: Terengganu salur bantuan kepada keluarga mangsa

Tragedi UPSI: Terengganu salur bantuan kepada keluarga mangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan lain di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, bantuan tersebut meliputi sokongan kebajikan, kaunseling dan psikososial kepada keluarga serta rakan-rakan mangsa.

“Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Satiful Bahri, beliau mewakili Kerajaan Terengganu turut merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas tragedi tersebut yang setakat ini difahamkan mengorbankan sekurang-kurangnya 15 nyawa, kebanyakannya pelajar berasal dari Terengganu.

“Mereka pergi dalam keadaan yang amat mulia, kembali menuntut ilmu dalam perjalanan yang penuh niat suci. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat keluarga, masyarakat dan negeri,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat negeri ini dan seluruh Malaysia untuk sama-sama mendoakan agar roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh.

Selain itu, beliau turut mendoakan agar mangsa yang cedera segera sembuh dan keluarga yang terlibat diberi ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Perak dalam satu kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 15 pelajar maut dalam kemalangan tersebut yang berlaku semasa bas berkenaan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA