GEORGE TOWN – “Terima kasih Tok Wan”, Itulah antara kata-kata yang terluah daripada salah seorang pelajar anak Pahang di Universiti Sains Malaysia (USM) apabila menerima sumbangan air mineral sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air di Pulau Pinang yang bermula malam ini.
Menurut seorang pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Nurhanani Dzulkifli, bantuan tersebut bukan sahaja meringankan beban, malah menyuntik semangat kepada mereka untuk terus tabah menghadapi cabaran sebagai pelajar di perantauan.
“Terima kasih Tok Wan, sumbangan ini benar-benar membantu kami yang jauh dari keluarga. Dalam keadaan gangguan air ini, setiap botol air sangat bermakna.
“Kami rasa dihargai dan tidak dilupakan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Agihan air dijadualkan bermula secara berperingkat hari ini melibatkan dua kampus utama USM di Kampus Induk di Gelugor dan Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal.
Sebelum ini, MYBERITA melaporkan gangguan bekalan air di seluruh Pulau Pinang dijangka berlangsung antara 24 hingga 60 jam susulan kerja penyelenggaraan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Sumbangan ini nyata memberi kelegaan kepada para pelajar, yang rata-ratanya mula membuat persiapan menghadapi situasi tersebut.