PUCHONG — Pihak polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti dalam insiden melibatkan kematian seorang lelaki warga Taiwan yang terjatuh ke landasan transit aliran ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati mangsa berjalan seorang diri sebelum terjatuh ke atas landasan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 63 tahun itu tidak ditemani sesiapa dan terjatuh secara sendiri sebelum dilanggar tren yang sedang bergerak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.03 petang, semalam.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas dilanggar tren. Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat.
Polis turut memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang mengambil tindakan lanjut untuk menghubungi keluarga mangsa melalui Kedutaan Taiwan di Malaysia.
Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).