Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURANTiga penyampai Era FM kembali ke udara, disambut meriah pendengar

Tiga penyampai Era FM kembali ke udara, disambut meriah pendengar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas sebulan digantung tugas susulan kontroversi melibatkan kandungan video tular, tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin kembali ke konti pagi tadi, sekali gus mengisi semula segmen popular 3 Pagi Era.

Menerusi hantaran di Instagram rasmi Era FM, ketiga-tiga penyampai tampil segak berbaju Melayu muncul semula nyata menggembirakan pendengar setia stesen tersebut.

Ruangan komen media sosial Era FM turut dihujani reaksi positif daripada netizen yang menzahirkan sokongan dan kegembiraan terhadap kemunculan semula mereka. Lebih mengharukan, sokongan turut hadir daripada pelbagai kaum, termasuk seorang pendengar berbangsa India.

“Sebagai pendengar berbangsa India, saya ucapkan selamat kembali kepada Azad, Nabil dan Radin. Marilah kita saling menyokong antara satu sama lain dan berhati-hati dengan setiap kata-kata kerana boleh mencetuskan salah faham atau menjejaskan keharmonian yang dimiliki.

“Saya doakan yang terbaik untuk kemunculan semula anda. Hiburkan kami, berikan inspirasi tetapi yang paling penting terus menyatukan semua pihak.”

Terdahulu, tempat mereka dalam segmen pagi telah digantikan sementara oleh Munabella, Namie, Sharifah Shahirah dan Haziq Husni sepanjang tempoh penggantungan.

Nabil, Radin dan Azad sebelum ini terpalit dengan kontroversi melibatkan sebuah video yang memaparkan aksi menari salah seorang daripada mereka, yang dianggap mempersendakan sensitiviti agama lain. Insiden tersebut mengundang kecaman meluas di media sosial.

Walaupun dikecam hebat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan bahawa lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn. Bhd., selaku pengendali Era FM, tidak digantung.

Namun begitu, syarikat tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025) kerana memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

Kemunculan semula tiga penyampai itu dilihat sebagai peluang kedua untuk mereka menebus kesilapan dan terus menceriakan pendengar dengan pendekatan yang lebih berhemah.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN