SEPANG – Pelawak terkenal, Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung tiga pertuduhan berkaitan dadah yang dihadapinya.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguamnya, Zaleha Al-Hayat, ketika prosiding di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin. Menurut beliau, pihaknya baru sahaja dilantik untuk mewakili tertuduh dan akan mengkaji kes secara menyeluruh sebelum menyerahkan representasi kepada AGC.
“Saya baru dilantik dan akan mengemukakan representasi setelah semua dokumen lengkap diperoleh daripada pihak pendakwaan,” katanya.
Dalam prosiding tersebut, Pegawai Pendakwa, Inspektor Sutri Patang memaklumkan bahawa dokumen berkaitan dua kes pemilikan dadah jenis kanabis telah diserahkan kepada pembelaan, manakala laporan kes ketiga berkaitan memasukkan dadah ke dalam badan akan diserahkan dalam prosiding seterusnya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan status representasi.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Along Cham didakwa memiliki 1.49 gram dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Cyberjaya pada 14 Disember lalu, jam 3.10 petang. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa memiliki 49.61 gram dadah sama di lokasi dan masa serupa. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara dua hingga lima tahun dan sebatan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga pula melibatkan kes memasukkan dadah jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ ke dalam badan, didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada jam 10 malam, hari yang sama. Kes itu dikendalikan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38B, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta pengawasan selama dua hingga tiga tahun.
Zaleha turut memaklumkan, pihak pembelaan akan meneliti kesemua dokumen terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada ingin memohon menggugurkan, membatalkan atau meminda pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.