Ahad, 20 Julai 2025
UTAMADUNIATimor-Leste yakin sertai ASEAN Oktober ini

Timor-Leste yakin sertai ASEAN Oktober ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timor-Leste optimis bakal diterima sebagai anggota penuh ASEAN menjelang Oktober ini, seiring usaha gigih negara itu memenuhi semua prasyarat keanggotaan serta sokongan padu daripada negara-negara anggota ASEAN lain.

Perdana Menterinya, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, keyakinan itu hadir selepas melihat keterbukaan ASEAN terhadap penyertaan negaranya, walaupun beberapa syarat teknikal masih dalam proses pelaksanaan.

“Iya… iya, kerana semua orang menyokong.

“Anda tahu mengapa? Kerana kami adalah sebuah negara kecil keseorangan di sana,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Sebelum ini, ASEAN memberi isyarat positif terhadap kemasukan Timor-Leste, namun menegaskan bahawa negara itu perlu segera melengkapkan instrumen undang-undang seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, masih banyak syarat perlu dipenuhi Timor-Leste sebelum keanggotaan penuhnya dapat dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Xanana berkata Timor-Leste telah mencuba sedaya upaya dan yakin dapat menyelesaikan baki prasyarat sebelum penghujung tahun.

“Saya percaya begitu, Kami telah mencuba yang terbaik, Kami telah mencapai banyak kriteria.

“Tetap ada satu, dua atau tiga perkara lagi yang kami akan lakukannya sebelum akhir tahun,” katanya.

Mengikut ketetapan sedia ada, Timor-Leste perlu memenuhi 88 prasyarat sebagai sebahagian proses keanggotaan ASEAN.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan 41 di Phnom Penh, Kemboja pada November 2022, ASEAN secara prinsip bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya terhadap syarat yang digariskan.

Malaysia dan Laos turut memperbaharui sokongan mereka terhadap hasrat Timor-Leste menyertai ASEAN dan dalam masa sama, menggesa pendekatan yang lebih bersepadu untuk menangani krisis berpanjangan di Myanmar.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA