KUALA LUMPUR – Satu rakaman video tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki memarahi dua individu dipercayai anggota penguat kuasa kerana merampas barangan jualannya.
Video berdurasi 43 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan berang selepas troli kecil yang mengandungi air mineral dirampas oleh dua individu berpakaian preman. Dalam rakaman tersebut, dia dilihat menegur tindakan itu sambil diperhatikan oleh orang ramai di sekitar kawasan kejadian.
“Ambil.. ambil. Aku berniaga air mineral dengan tisu saja,” kata lelaki tersebut dengan nada kecewa.
Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan ada yang bersimpati terhadap peniaga berkenaan dan ada juga yang mempertahankan tindakan anggota penguat kuasa.
“Orang itu berniaga bukan makan ruang pun. Untung pun tidak seberapa sekali jualan,” kata Hafiz di Facebook.
“Rakyat masih perlu nak berniaga di jalanan demi sesuap nasi,” luah dengan kesal seorang lagi pengguna Facebook, Mike Rain.
Sementara itu, Mohd Salehuddin berpendapat lelaki tersebut hanya menjual barangan asas yang memudahkan orang ramai.
“Dia jual air mineral dan tisu untuk memudahkan orang siap buka puasa dan air masak. Husnuzon lah weh,” katanya.
Namun, ada juga yang menyokong tindakan penguat kuasa dengan alasan bahawa peraturan perlu dipatuhi. Seorang pengguna bernama Ayraf Basri menegaskan bahawa penjualan di kawasan tersebut tidak sepatutnya dibenarkan.
“Situ ada food truck yang berbayar untuk berniaga. Bila ada ‘ulat-ulat’ macam ini, rugi peniaga yang bayar tapak,” ujarnya.
Bani Adam pula berpandangan bahawa undang-undang perlu dikuatkuasakan bagi mengelakkan perniagaan tanpa lesen.
“Benda boleh selesai elok-elok. Ambil lesen atau berniaga di tempat yang dibenarkan,” katanya.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai isu peniaga kecil yang mencari rezeki di jalanan serta penguatkuasaan peraturan perniagaan di kawasan awam.