Ahad, 20 Julai 2025
UTAMAHIBURANTokTi nyanyi tanda hargai warga KKM, walaupun tidak dibayar

TokTi nyanyi tanda hargai warga KKM, walaupun tidak dibayar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menegaskan bahawa beliau tidak terasa walaupun berdepan dakwaan kononnya membuat persembahan secara berbayar dalam Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa lalu.

Siti, 46, berkata, sebagai penyanyi, beliau memahami keperluan dan situasi, serta tahu bila masanya untuk tampil menyanyi atas dasar tanggungjawab sosial dan bukannya semata-mata kerana bayaran.

“Tak adalah (merajuk), perkara ini perkara biasa.

“Saya tetap Siti Nurhaliza, dah matang dah.

“Saya tahu bila mana saya perlu berbakti kepada negara dan (buat persembahan) untuk hargai orang,” katanya.

Isu berkenaan timbul selepas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memuat naik gambar Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah yang menghadiri majlis rumah terbuka KKM, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya.

Mengulas lanjut, Siti menjelaskan bahawa beliau hadir ke majlis tersebut sebagai tetamu dan bukan diundang secara rasmi untuk membuat persembahan.

“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.

“Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” jelasnya.

Tambahnya lagi, penjelasan itu dibuat untuk mengelakkan sebarang salah faham serta fitnah yang boleh mencemarkan reputasi beliau.

Sementara itu, menerusi ciapan di platform X, Dr Dzulkefly turut mengesahkan bahawa kehadiran Siti Nurhaliza dan Jamal Abdillah adalah sebagai tetamu, dan kedua-dua artis berkenaan membuat persembahan tanpa sebarang bayaran.

Katanya, kehadiran mereka bertujuan memeriahkan majlis serta menghormati peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kakitangan KKM dan semua tetamu yang hadir sebagai sebahagian daripada ekosistem penjagaan kesihatan negara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA