KUALA TERENGGANU – Arena bola sepak Terengganu dan negara hari ini dikejutkan dengan berita pemergian Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong yang menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Setiu kira-kira jam 7.40 malam tadi.
Menurut adiknya, Amrang, 56, Allahyarham yang berusia 60 tahun sebelum ini dimasukkan ke Hospital Salam Kuala Terengganu dan kemudian menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Kuala Nerus akibat komplikasi jantung dan diabetes.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Sharifah Nor Salma Chong Abdullah serta tujuh orang anak. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Calok, Penarik, Setiu pada jam 11 pagi esok.
Sepanjang hayatnya, Datuk Marzuki yang mesra digelar ‘Cikgu Ki’ merupakan tokoh penting dalam pembangunan bola sepak Terengganu dan negara. Selain memegang jawatan Timbalan Presiden PBSNT, beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Setiu.
Beliau dikenali sebagai individu yang sangat komited dalam memajukan bola sepak, dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang sukan tersebut. Peranan aktifnya dalam PBSNT kembali menyerlah selepas memenangi pemilihan dalam kongres PBSNT bagi penggal 2025-2028 yang lalu.
Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim dalam kenyataannya berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat PBSNT dan pasukan Terengganu FC.
“Almarhum Datuk Marzuki aktif dalam membantu mengemudi PBSNT, banyak pengalaman yang saya pelajari daripada beliau. Pemergian ini adalah satu kehilangan besar buat seluruh keluarga bola sepak Terengganu,” katanya.
Semoga roh Allahyarham Datuk Marzuki Sulong ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan dirahmati Allah SWT. Al-Fatihah.