KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada pengguna lebuh raya sempena sambutan Aidilfitri 2025.
Langkah ini bertujuan untuk meringankan beban rakyat serta memastikan kelancaran perjalanan sepanjang musim perayaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada Rabu.
“Pemberian diskaun tol ini akan dilaksanakan bermula dari pukul 12.01 tengah malam, 28 Mac 2025 (Jumaat) dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 29 Mac 2025 (Sabtu).
“Implikasi kewangan yang ditanggung oleh Kerajaan Madani dianggarkan RM19.69 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, diskaun tol ini akan diberikan kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Nanta menjelaskan bahawa pemberian diskaun ini adalah kesinambungan kepada inisiatif bantuan tol musim perayaan yang telah dimulakan sejak 2023 bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung Malaysia.
“Ia selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Semua pengguna lebuh raya diharap dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini,” katanya lagi.
Pemberian diskaun tol sempena Aidilfitri ini dijangka memberi manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia yang pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan bersama keluarga tersayang.