KUALA LIPIS – Suasana menjelang Aidilfitri semakin terasa apabila orang ramai mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Tinjauan MYBERITA sekitar Pahang, khususnya di kawasan Raub, Kuala Lipis, Benta, dan Padang Tengku pada jam 2.42 petang mendapati keadaan trafik masih terkawal meskipun jumlah kenderaan di jalan raya semakin bertambah.
Seorang pengguna jalan raya dari Raub, yang ditemu bual secara dalam talian, mengakui terdapat peningkatan jumlah kenderaan berbanding hari biasa namun pergerakan masih lancar.
“Kereta masih boleh bergerak, tidak seperti tahun lepas di mana banyak kenderaan tersadai lama di jalan raya.
“Tapi kalau tengok hari ini, memang jumlah kenderaan lebih banyak berbanding semalam atau dua hari lepas. Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi, keadaan trafik akan mula sesak,” katanya.
Tambahan pula, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika dalam perjalanan pulang, terutamanya pada petang ini, berikutan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) awal petang tadi.
Ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang diramalkan melanda 10 negeri, termasuk beberapa kawasan di Pahang seperti Lipis, Raub, dan Bentong.
Keadaan cuaca yang tidak menentu ini bukan sahaja berpotensi menyebabkan jarak penglihatan terhad, malah turut meningkatkan risiko kemalangan dan kesesakan lalu lintas.
Justeru, pengguna jalan raya disarankan untuk sentiasa peka terhadap keadaan semasa, memandu dengan berhati-hati, serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum meneruskan perjalanan.