TELUK INTAN – Seorang pemandu lori muatan pasir yang terlibat dalam kemalangan tragis sehingga meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh di Jalan Chikus–Sungai Lampan di sini hari ini telah ditahan bagi siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 45 tahun itu telah menjalani ujian saringan air kencing, dan keputusan mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.
“Tujuh ujian telah dijalankan ke atas semua jenis dadah dan keputusannya didapati negatif. Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa seramai sembilan anggota FRU terkorban dalam kejadian itu, dengan lapan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan.
“Selain itu, dua anggota dirawat di zon merah manakala tujuh yang lain berada di zon kuning Hospital Teluk Intan. Dakwaan yang mengatakan seramai 10 anggota meninggal dunia adalah tidak benar,” ujarnya.
Proses bedah siasat ke atas kesemua mangsa dijadualkan dijalankan pada jam 2.30 petang ini.
“Jenazah tujuh anggota beragama Islam akan disembahyangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum dibawa ke Unit 5 FRU di Sungai Senam untuk penghormatan terakhir bersama jasad dua anggota lain,” tambahnya.
Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.