KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan melibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda berdua turut meluahkan rasa sedih terhadap insiden itu serta mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan besar tersebut.
“Semoga urusan keluarga mangsa dipermudahkan dan mereka diberi kekuatan menempuh saat sukar ini,” titah baginda dalam hantaran berkenaan.
Seri Paduka berdua juga menzahirkan doa agar mangsa yang sedang menerima rawatan di hospital dikurniakan kesembuhan segera.
Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Hulu Perak memaklumkan sekurang-kurangnya 15 orang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan lain berhampiran Tasik Banding, di Banun, Gerik.