IPOH – Bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi didakwa tidak melalui laluan biasa menerusi Gua Musang, sebaliknya menggunakan laluan alternatif di Gerik.
Menurut Najibah Zahir, 30, kakak ipar kepada salah seorang mangsa, Lily Suzana Mat Yaakob, 23, mereka percaya pemandu mengambil jalan itu untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Sepatutnya adik ipar saya naik bas malam ini, tapi dia tukar tiket lebih awal sebab ada kelas.
“Biasanya bas ikut laluan Gua Musang, tapi kali ini pemandu guna laluan Gerik, Mungkin sebab nak elak trafik sesak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.
Najibah berkata, beliau mengetahui tentang kejadian itu melalui mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga, sebelum segera bergegas dari Pulau Pinang ke Ipoh.
Beliau memaklumkan, doktor memberitahu keadaan Lily Suzana kini stabil tanpa pendarahan di kepala, namun masih belum sedarkan diri dan sedang menjalani imbasan lanjut.
Difahamkan, seorang lagi rakan kepada mangsa turut berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Zon Merah hospital berkenaan.