Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALTragedi UPSI: JKR akan beri bantuan teknikal - Nanta

Tragedi UPSI: JKR akan beri bantuan teknikal – Nanta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memberikan bantuan teknikal dan nasihat kepada pihak berkuasa susulan kemalangan tragik membabitkan sebuah bas dan kenderaan lain yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, awal pagi tadi.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan siasatan yang dijalankan dapat dibuat secara menyeluruh dan profesional.

“JKR akan bekerjasama rapat dengan pihak konsesi penyelenggaraan jalan dan membantu dengan kepakaran teknikal.
“Saya mohon semua pihak memberikan ruang kepada pasukan penyiasat untuk menyelesaikan siasatan dengan teliti,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai satu tragedi besar negara serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Difahamkan, bas yang membawa pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam nahas di laluan berbukit JRTB Banun.

“Saya dan seluruh pasukan KKR akan terus memantau perkembangan siasatan dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin,” katanya.

Nanta turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk bomba, polis, APM dan Kementerian Kesihatan yang pantas menggerakkan operasi menyelamat.

Beliau juga mendoakan agar semua mangsa yang tercedera segera diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan rawatan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN