KUALA LUMPUR – Seorang pengguna jalan raya berkongsi pengalaman pilu apabila menyaksikan detik menyayat hati mangsa kemalangan bas yang membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring tidak bermaya di tepi Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin lalu.
Dalam kejadian tragis yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala puluhan lagi cedera apabila bas yang membawa lebih 40 penumpang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.
Saksi kejadian, Rosmaizul Mustapha, berkata beliau melalui lokasi berkenaan sekitar jam 1.30 pagi dan tergamam melihat keadaan mangsa yang sangat memilukan.
“Di sebelah kiri, pelajar-pelajar berlumuran darah, ada yang duduk, berdiri, dan terbaring. Di sebelah kanan pula saya nampak ada yang sedang memangku anak kecil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke UPSI, sebelum terlibat dalam kemalangan ngeri itu.
Operasi menyelamat dijalankan segera oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis serta beberapa agensi lain yang digerakkan sebaik menerima panggilan kecemasan.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta mengesahkan identiti kesemua mangsa yang terlibat.
Menurut laporan awal, kemalangan itu membabitkan 48 mangsa, dengan 15 daripada mereka terkorban di lokasi kejadian dan semasa menerima rawatan.