KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi semalam, mempunyai rekod sebanyak 18 saman trafik.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan, antara saman yang direkodkan termasuk 13 saman atas kesalahan memandu laju, satu saman berkaitan kemalangan, tiga saman kerana tidak memakai tali pinggang keledar dan satu lagi saman kerana tiada lampu brek ketiga.
“Bukan itu sahaja, hasil siasatan turut mendapati bas yang dipandu pemandu terbabit juga mempunyai rekod sebanyak 21 saman. Daripada jumlah itu, 16 sudah dijatuhkan hukuman manakala baki lima saman masih dalam siasatan,”
Dalam kejadian tragis yang berlaku kira-kira jam 1.15 pagi semalam, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan meninggal dunia manakala tujuh lagi mengalami kecederaan parah selepas bas sewa khas yang mereka naiki terbalik.
Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menuju ke Tanjung Malim sebelum hilang kawalan, melanggar sebuah Perodua Alza dan terbabas.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, PDRM akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat insiden berkenaan secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Kita akan lengkapkan kertas siasatan secepat mungkin bagi membolehkan pendakwaan terhadap pemandu dilakukan di mahkamah.
“Siasatan akan dibuat secara menyeluruh termasuk latar belakang pemandu, rekod kesalahan lampau serta aspek kerjayanya sebelum ini,” katanya.
Insiden menyayat hati ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan kenderaan awam dan keperluan penambahbaikan kawalan serta penguatkuasaan terhadap pemandu dan syarikat pengangkutan.