KOTA BHARU – Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Jeli–Gerik yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menjelaskan bahawa brek bas tiba-tiba tidak berfungsi sewaktu melalui jambatan lintasan gajah di Gerik.
Menurutnya, bas yang bertolak dari Terengganu itu berada dalam keadaan baik sehinggalah tiba di kawasan jambatan lintasan gajah di Gerik, di mana brek bas secara tiba-tiba gagal berfungsi.
“Saya minta maaf kepada keluarga mangsa dan semua pelajar yang terbabit dalam kemalangan itu. Brek bas tiba-tiba tidak berfungsi.” Itulah luahan hiba pemandu bas
“Angin bas juga kosong. Saya cuba pelbagai cara untuk kawal, tapi brek tangan pun tak berfungsi dan gear tak boleh ditukar. Saya hanya fikirkan keselamatan penumpang dan cuba elak kenderaan lain. Seingat saya, saya berjaya elak empat kenderaan termasuk lori sebelum kemalangan,” katanya ketika dihubungi dari Hospital Taiping, Perak, tempat beliau sedang dirawat akibat kecederaan.
Mohd Amirul turut menjelaskan bahawa video tular yang menunjukkan bas dipandu laju telah disalah tafsir.
“Saya memang potong beberapa kenderaan, termasuk sebuah kereta yang ada dashcam, tapi itu semua kerana saya sedang cuba kawal keadaan. Saya bukan bawa laju sewenang-wenangnya. Laluan Jeli-Gerik memang saya kenal, terutama kawasan menurun bukit tempat kejadian berlaku,” ujarnya sebak.
Beliau yang berpengalaman memandu bas sejak 2016 berkata, beliau sempat menjerit kepada pelajar supaya bersedia ketika menyedari brek gagal berfungsi. Namun, ramai pelajar ketika itu sedang tidur dan menyangka beliau sedang marah.
“Selepas bas terbalik, saya pengsan sekejap. Bila sedar, saya jerit minta pelajar keluar ikut cermin depan yang pecah. Saya sendiri merangkak keluar dan menangis lihat keadaan mereka. Saya hanya mampu serahkan segalanya kepada Allah dan polis,” katanya.
Pemandu yang berasal dari Besut, Terengganu itu juga mengakui sukar untuk berdepan dengan keluarga mangsa kerana kebanyakan mereka adalah penduduk kampungnya sendiri.
“Ini sangat menekan emosi saya. Saya kenal mereka… Saya tak tahu macam mana nak berdepan dengan keluarga mangsa. Saya hanya mampu minta maaf,” katanya yang kini menunggu pembedahan pada tangan kirinya.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila bas tersebut melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbalik.
Pihak polis kini giat melengkapkan siasatan termasuk dari sudut teknikal dan keselamatan kenderaan, selain menilai kelayakan pemanduan. Tragedi ini mencetuskan persoalan besar mengenai tahap penyelenggaraan dan keselamatan kenderaan awam di negara ini.