Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAMAHKAMAHTragedi UPSI: Pemandu bas ragut 15 nyawa didakwa esok, hadapi 16 pertuduhan

Tragedi UPSI: Pemandu bas ragut 15 nyawa didakwa esok, hadapi 16 pertuduhan

- Advertisement -

GERIK — Pemandu bas yang terlibat dalam nahas tragik meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik-Jeli, Isnin lalu, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik esok.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan, lelaki berusia 39 tahun itu akan didakwa selepas solat Jumaat dengan 15 pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian, serta satu pertuduhan mengikut Seksyen 42 akta sama atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

“Esok selepas Jumaat akan didakwa di Mahkamah Majistret Gerik,” katanya ketika dihubungi media pada Khamis.

Sebelum ini, suspek ditahan sekitar jam 5.45 petang semalam selepas dibenarkan keluar daripada Hospital Taiping, tempat dia menerima rawatan akibat kecederaan tangan yang dialami dalam insiden tersebut. Dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk siasatan lanjut.

“Kita menunggu arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri sama ada pemandu bas itu boleh didakwa esok atau tidak. Di pihak polis, kita sudah bersedia,” jelas Noor Hisam.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi Isnin lalu, bas persiaran yang membawa 42 penumpang itu dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat sekeluarga di Kilometer 53, berhampiran Tasik Banding.

Difahamkan, bas tersebut dalam perjalanan pulang dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha. Nahas itu mengorbankan 15 pelajar universiti berkenaan, manakala beberapa penumpang lain mengalami kecederaan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN