GERIK – “Saya nampak ada yang meronta-ronta, tapi saya tak mampu untuk tolong mereka.”
Demikian kata pilu Aleeya Maisarah Azizzani, 21, salah seorang mangsa yang terselamat dalam nahas menyayat hati membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
Dalam kejadian tragis kira-kira jam 12 tengah malam hingga 1 pagi itu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut, manakala 27 lagi cedera apabila bas yang mereka naiki melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum terbalik ke bahu jalan.
Aleeya Maisarah, pelajar semester empat jurusan Pendidikan Bahasa Arab, berkata dia hanya mampu terbaring dengan belakang badan yang terlalu sakit dan tidak boleh bergerak ketika kejadian berlaku.
“Keadaan ketika itu sangat menyedihkan apabila lihat mereka meronta-ronta tapi saya tidak boleh buat apa. Dalam keadaan belakang badan yang sakit, saya cuba gagahkan diri cari jalan keluar.
“Saya juga dengar rintihan rakan-rakan lain yang meminta tolong… ada juga yang dah tak bersuara,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini, hari ini.
Menurutnya, orang awam dan pasukan keselamatan yang tiba membantu mengeluarkan mangsa yang masih hidup daripada bas yang remuk teruk.
Menceritakan semula detik cemas itu, Aleeya berkata sebelum kejadian, dia menyedari ada bau hangit tayar sewaktu bas berada di kawasan Tanah Merah, namun tidak mengesyaki apa-apa lalu tertidur.
Namun, ketika tiba di kawasan Jeli, dia terjaga apabila terasa bas dipandu laju dan melanggar lopak air sebelum hampir terbabas ke kanan jalan.
“Pemandu ada perlahankan bas seketika, tetapi kemudian kembali memandu laju. Semasa sampai di satu selekoh, bas itu hilang kawalan dan terbalik ke kiri jalan,” katanya yang mengalami kecederaan di kepala dan kaki terseliuh.
Tambahnya, selain mangsa yang tersepit, terdapat juga penumpang yang tercampak keluar dari bas dan terjatuh ke dalam longkang berhampiran.
Sementara itu, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kemalangan dan proses pengecaman identiti mangsa sedang dijalankan.