Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMATERKINITragedi UPSI: Sepupu antara mangsa nahas, Zoey Rahman terima khabar duka subuh...

Tragedi UPSI: Sepupu antara mangsa nahas, Zoey Rahman terima khabar duka subuh tadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Zoey Rahman mengesahkan sepupunya, Fakhrul Arif Rosli, merupakan antara 15 mangsa yang maut dalam nahas membabitkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.

Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 40, berkata, beliau menerima khabar duka itu menerusi satu hantaran dalam kumpulan WhatsApp keluarga seawal Subuh tadi.

“Mula-mula kami hanya dimaklumkan seramai 15 orang maut dalam kemalangan tersebut, tetapi tiada pengesahan sama ada arwah termasuk atau tidak. Tidak lama selepas itu, barulah kami diberitahu bahawa dia meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Zoey, arwah dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI di Tanjung Malim dari kampung halaman mereka di Pasir Akar, Jerteh, Terengganu selepas menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.

Pelakon drama From Saga With Love itu menyifatkan arwah sebagai seorang yang pendiam, baik hati dan pintar.

“Kali terakhir saya jumpa arwah masa Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Saya tak balik kampung untuk Aidiladha kali ini.

“Mak arwah ada cerita, arwah ada hasrat nak sambung belajar ke luar negara. Tapi rupa-rupanya dia ‘pergi’ ke negeri abadi,” katanya dengan nada sebak.

Zoey juga memaklumkan beliau kini sedang menunggu perkembangan lanjut daripada ahli keluarga yang sudah berada di hospital.

“Jenazah masih di hospital dan menunggu proses bedah siasat selesai. Saya sendiri masih menanti berita terkini daripada keluarga,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zoey berharap semua ahli keluarga mangsa yang terlibat diberi kekuatan menghadapi ujian berat ini.

“Saya harap keluarga arwah dan semua mangsa kuat dan tabah. Kemalangan memang sukar dielakkan, tapi saya harap ada tindakan susulan selepas tragedi ini.

“Setiap kali musim perayaan, sering kali kita dengar kemalangan melibatkan kenderaan berat. Ia amat menyedihkan,” katanya.

Terdahulu, MYBERITA melaporkan seramai 15 individu terkorban dalam kemalangan ngeri di JRTB membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke kampus universiti itu di Tanjung Malim, Perak.

Sebahagian daripada mangsa yang terselamat kini dirawat di Hospital Gerik dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN