GERIK – Syarikat pengendali bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan tragik di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) sehingga mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) didapati gagal mematuhi keperluan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JISA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata audit yang dijalankan ke atas syarikat terbabit menunjukkan kegagalan menyeluruh dalam tujuh aspek mandatori yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan operasi pengangkutan awam.
Beliau menjelaskan antara perkara yang gagal dipatuhi termasuklah ketiadaan pegawai atau penyelia keselamatan.
Syarikat tersebut juga gagal memantau kelajuan kenderaan melalui sistem GPS.
Selain itu, mereka tidak mematuhi had maksimum lapan jam waktu memandu oleh pemandu serta tidak memberikan waktu rehat selama 30 minit setiap empat jam pemanduan.
GPS didapati tidak dipasang atau tidak diaktifkan dalam kenderaan yang dikendalikan.
Syarikat itu juga tidak menyediakan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP).
Mereka turut tidak mempunyai talian hotline untuk pelanggan membuat aduan.
Anthony berkata, kegagalan ini membuktikan kelemahan ketara dalam pematuhan syarat keselamatan oleh syarikat pengendali bas tersebut walaupun garis panduan JISA telah lama diperkenalkan.
Beliau turut menegaskan bahawa perkara ini bukanlah baharu kerana semua syarikat pengangkutan awam sedia maklum mengenai syarat-syarat yang dikenakan.
Namun begitu, beliau mengakui bahawa tahap pematuhan masih sangat lemah dan tidak boleh diterima, apatah lagi apabila ia melibatkan nyawa orang ramai.
Susulan tragedi tersebut, Anthony mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk melaksanakan audit JISA secara besar-besaran ke atas semua syarikat pengendali pengangkutan awam, termasuk bas dan lori.
Beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat pengendali agar segera mengambil inisiatif menjalankan audit dalaman serta mematuhi sepenuhnya keperluan yang ditetapkan sebelum tindakan audit dari pihak JPJ dilakukan.
Tegas beliau, penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan lebih serius bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan dan tragedi seperti ini tidak berulang.
Dalam kejadian pada awal pagi Isnin lalu, sebuah bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke kampus mereka di Tanjung Malim, Perak telah terlibat dalam kemalangan apabila hilang kawalan dan merempuh sebuah Perodua Alza sebelum terbalik di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding.
Insiden ngeri itu mengakibatkan 15 pelajar maut manakala beberapa lagi mengalami kecederaan parah.