Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASATren ERL tergendala akibat kabel dicuri

Tren ERL tergendala akibat kabel dicuri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengesahkan gangguan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit sejak Selasa berpunca daripada perbuatan vandalisme melibatkan kecurian kabel serta gangguan sistem isyarat.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, ERL memaklumkan insiden pertama berlaku pada jam 6.20 pagi di KM48.5, antara Stesen Salak Tinggi dan KLIA Terminal 1, diikuti beberapa siri gangguan lain yang menyebabkan perkhidmatan tren tergendala dan menjejaskan penumpang.

“Perkhidmatan gabungan KLIA Ekspres dan KLIA Transit telah diaktifkan pada jam 6.58 pagi dari KLIA Terminal 2 dan 7 pagi dari KL Sentral,” kata kenyataan itu.

Bagi menangani waktu puncak, perkhidmatan tren ulang-alik turut disediakan dari Stesen Salak Tinggi ke KL Sentral pada jam 7.40 pagi. Perkhidmatan kembali pulih secara berperingkat pada jam 10 pagi dari KL Sentral dan 9.48 pagi dari KLIA Terminal 2.

Bagaimanapun, satu lagi insiden kecurian kabel berlaku pada jam 5.52 petang di KM43.1 antara Putrajaya–Cyberjaya dan Salak Tinggi, menyebabkan kelewatan tren antara tujuh hingga 10 minit.

Gangguan turut berlanjutan apabila sistem isyarat di Stesen Bandar Tasik Selatan mengalami masalah, memaksa semua tren dihentikan sepenuhnya pada jam 9.57 malam.

“Perkhidmatan tren ulang-alik antara Putrajaya dan Cyberjaya ke KLIA T2 dimulakan semula pada jam 10.20 malam dengan kekerapan setiap 20 minit. Penumpang ke KL Sentral dari Putrajaya dan Cyberjaya dinasihatkan menggunakan pengangkutan alternatif,” jelas ERL.

Pada Rabu, dua lagi insiden kecurian kabel dilaporkan di KM47.2 pada jam 4.47 pagi dan KM40.6 sekitar jam 5.20 pagi, membabitkan laluan antara Salak Tinggi dengan KLIA Terminal 1 serta Putrajaya dan Cyberjaya.

Susulan itu, tren ulang-alik dimulakan pada jam 6 pagi dari Salak Tinggi ke KLIA dengan kekerapan setiap 20 minit.

“Pasukan kami sedang bekerja tanpa henti untuk memulihkan perkhidmatan sepenuhnya. Kami amat memahami kesan gangguan ini terhadap penumpang dan memohon maaf atas segala kesulitan atau kelewatan yang berlaku,” kata ERL.

Orang ramai disarankan merancang perjalanan dengan sewajarnya dan mengikuti saluran media sosial ERL untuk maklumat terkini.

Penumpang yang terjejas boleh memohon bayaran balik dengan menghantar e-mel kepada CustomerEnquiry@KLIAekspres.com.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN