MENTAKAB – Dua klip video memaparkan seorang lelaki dipercayai memukul anjing di sebuah taman perumahan berhampiran Mentakab tular di laman sosial Facebook sejak Ahad lalu, mencetuskan kemarahan netizen yang menggesa agar tindakan segera diambil.
Video berkenaan dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama profil ‘Mizta Mac’, yang mendakwa kejadian tersebut dirakam melalui tingkap rumahnya. Dalam hantaran tersebut, beliau turut mendakwa lebih 15 ekor anjing jalanan telah dibunuh oleh individu terbabit.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai, dengan rata-rata netizen mengecam tindakan kejam tersebut dan menyarankan agar insiden dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Beberapa pengguna turut mempersoalkan mengapa tiada siapa yang cuba menghalang perlakuan ganas itu. Menjawab persoalan tersebut, pemilik video menyatakan ada individu yang cuba menegur pelaku ketika kejadian, namun teguran itu tidak diendahkan dan malah dimarahi.
Perkongsian tersebut turut disertakan beberapa tangkap layar perbualan dipercayai melibatkan penduduk taman berkenaan. Dalam perbualan itu, terdapat individu yang secara terbuka mengaku telah membunuh haiwan berkenaan.
Menurut ‘Mizta Mac’, beliau telah mengambil keputusan untuk membuat laporan polis mengenai insiden tersebut. Beberapa individu lain juga memaklumkan telah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Difahamkan, kejadian berlaku susulan satu insiden sebelum itu di mana seorang penduduk diserang dan digigit seekor anjing jalanan, sekali gus dipercayai mencetuskan kemarahan segelintir penduduk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan serangan dan gigitan anjing terhadap seorang penduduk.
“Namun setakat ini, kami belum menerima sebarang laporan polis berkaitan video tular mengenai pemukulan anjing tersebut,” katanya.
Polis menggesa orang ramai agar tampil membuat laporan rasmi sekiranya mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.