Ahad, 20 Julai 2025
UTAMABELASUNGKAWATun Abdullah tokoh berjiwa besar, jasanya sentiasa dikenang - Mohamad Hasan

Tun Abdullah tokoh berjiwa besar, jasanya sentiasa dikenang – Mohamad Hasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Menurut beliau, negara telah kehilangan seorang tokoh negarawan yang amat berjasa sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Saya secara peribadi amat berdukacita dengan pemergian Tun Abdullah. Malaysia kehilangan seorang anak watan berjiwa besar yang semangatnya sangat dirasai semasa beliau menerajui kepimpinan negara,” katanya ketika ditemui MYBERITA di perkarangan Institut Jantung Negara (IJN) sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Luar menambah, sumbangan serta khidmat bakti Allahyarham kepada tanah air akan sentiasa dikenang rakyat.

“Walaupun di saat-saat akhir kesihatannya tidak begitu baik, pemergian beliau dirasai seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Terima kasih Tun atas segala sumbangan dan jasa kepada negara. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ujar beliau.

Terdahulu, Allahyarham Tun Abdullah dilaporkan mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.10 malam tadi.

Tun Abdullah, yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, merupakan Perdana Menteri Malaysia kelima dan dikenang sebagai pemimpin berhemah yang membawa pendekatan sederhana dalam pentadbiran negara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA