KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak dapat menahan rasa sebak apabila diberi penghormatan untuk membuka kapsul masa yang ditanamnya sendiri hampir tiga dekad lalu di Menara Kuala Lumpur.
Tun M, yang genap berusia 100 tahun hari ini, melahirkan rasa terharu kerana tidak menyangka akan menjadi individu yang membuka semula kapsul tersebut setelah sekian lama.
“Saya tak sangka saya yang akan buka semula kapsul ini,” katanya ringkas namun penuh emosi dalam satu sidang media khas di Menara Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kapsul masa yang ditanam sekitar awal pembinaan Menara Kuala Lumpur itu mengandungi pelbagai jenis barangan termasuk duit, dokumen dan barangan kenangan era 90-an yang menjadi simbol harapan dan visi masa depan negara ketika itu.
Tun Dr. Mahathir yang dilahirkan pada 10 Julai 1925, dikenang sebagai tokoh penting dalam usaha memodenkan Malaysia. Antara pencapaian paling bersejarah di bawah pentadbirannya termasuklah pelancaran jenama kereta nasional, Proton, serta pelbagai dasar pembangunan ekonomi dan infrastruktur yang membawa Malaysia keluar dari status negara dunia ketiga ke arah negara industri.
Majlis pembukaan kapsul masa tersebut turut dihadiri pelbagai tokoh negara, ahli keluarga Tun M, serta orang ramai yang tidak melepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah itu.
Acara penuh simbolik itu bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-100 Tun M, malah menjadi peringatan akan warisan kepimpinan dan visi masa depan yang ditinggalkan oleh seorang negarawan ulung.