Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAPENDIDIKANUKM, USM tawar laluan tingkatan enam

UKM, USM tawar laluan tingkatan enam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam (UA) mulai tahun ini khusus untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan pelaksanaan program berkenaan adalah hasil kerjasama silang bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan projek rintis akan dilaksanakan di dua universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut kementerian itu, dua bidang pengajian ditawarkan bagi fasa permulaan iaitu Sains dan Sains Sosial, dan terbuka kepada pelajar yang layak serta memenuhi syarat ditetapkan.

“Lepasan SPM Tahun 2024 yang berjaya dan menerima tawaran ke Tingkatan Enam serta memenuhi syarat boleh membuat permohonan bagi menyertai program ini mulai esok hingga 25 Mei 2025,” katanya.

Keputusan permohonan untuk menyertai program tersebut boleh disemak pada 3 Jun depan menerusi pautan https://sst6.moe.gov.my.

Dalam kenyataan sama, KPM turut memaklumkan bahawa semakan tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 juga boleh dibuat mulai esok secara dalam talian melalui pautan sama atau menerusi sekolah asal masing-masing.

“Bagi murid yang tidak menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan rayuan permohonan mulai esok hingga 25 Mei.

“Keputusan rayuan akan diumumkan pada 3 Jun dan boleh disemak melalui kaedah yang sama,” jelas KPM.

Semua pelajar yang menerima tawaran ke Tingkatan Enam dikehendaki melapor diri di Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun 2025.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN