GEORGE TOWN – Umat Islam diingatkan agar tidak menyertai festival Songkran yang akan berlangsung hujung minggu ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung, kerana ia mengandungi unsur keagamaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, Songkran merupakan perayaan Tahun Baharu masyarakat Thai yang sarat dengan ritual dan amalan berkaitan agama Buddha.
“Antara amalan yang sinonim dengan festival ini ialah memandikan patung Buddha, menyimbah air sebagai simbol penyucian diri dan memberi penghormatan kepada sami,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Menurut beliau, penyertaan dalam festival seperti ini, walaupun atas alasan budaya atau hiburan, tetap tidak dibenarkan dalam Islam kerana boleh menimbulkan kekeliruan akidah serta menjejaskan identiti umat Islam.
“Larangan ini berasaskan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka,” katanya, memetik riwayat Abu Daud.
Mohd Sukki turut menegaskan bahawa sambutan Songkran sering dikaitkan dengan hiburan berlebihan, percampuran bebas lelaki dan perempuan serta pemakaian tidak menutup aurat, yang jelas bertentangan dengan prinsip syariat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam agar tidak menghadiri, mempromosi atau mengambil bahagian dalam sebarang acara berkaitan Songkran.
“Gunakan masa tersebut untuk menyertai aktiviti yang lebih bermanfaat dan selari dengan nilai-nilai Islam,” ujarnya.
Songkran disambut setiap tahun selama tiga hari bermula 12 April dan biasanya melibatkan perhimpunan keluarga, penghormatan kepada warga tua dan pelaksanaan ritual agama Buddha.
Festival ini turut diraikan di beberapa negeri di Malaysia seperti Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.
Dengan ribuan rakyat dijangka menyertai sambutan di Thailand dan kawasan sempadan, pihak berkuasa agama mengingatkan umat Islam supaya lebih berhati-hati dan berpegang teguh kepada prinsip Islam dalam menyambut musim cuti ini.