KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan bahawa UMNO Sabah akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, keputusan itu dimuktamadkan bagi menjawab persoalan ramai pihak mengenai hala tuju kerjasama politik UMNO Sabah pada PRN kali ini.
“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa UMNO Sabah telah mengadakan ‘retreat’ pada satu ketika dan kita memutuskan akan bergabung dengan PH.
“Bagi parti-parti lain, kita tidak menutup pintu. Mana-mana parti yang kita lihat ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan, kita akan pertimbangkan untuk bergabung,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis rumah terbuka di kediamannya, Ahad.
Menurut beliau, ‘retreat’ tersebut telah diadakan di Pulau Pinang pada akhir tahun lalu, manakala perbincangan rasmi bersama PH Sabah dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat.
“Perbincangan rasmi akan diadakan (dengan PH Sabah), tetapi secara tidak rasmi sudah banyak kali. Kita ada makan malam, kita ada makan tengah hari, kita ada sarapan – perbincangan diadakan, setakat ini dalam keadaan baik.
“Ia sudah dimuktamadkan, tetapi parti-parti lain pun kita undang untuk menyertai,” ujarnya lagi.
Walaupun PH belum membuat pengumuman rasmi, Bung Moktar berkata beliau perlu mendahului pengumuman tersebut memandangkan akar umbi UMNO Sabah sudah lama menunggu kepastian.
“Belum lagi (PH belum umum), saya perlu mengumumkannya sebab UMNO Sabah – bagi saya, kami telah berada di sini selama ini dan kami mempunyai akar umbi yang telah lama menunggu. Jadi, sudah tidak boleh menunggu lebih lama lagi.
“Semakin lama saya menunggu, semakin lama kita berpecah. Perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat sebab pilihan raya semakin dekat,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sasaran kerusi DUN, Bung Moktar menegaskan bahawa keutamaan bukan kepada bilangan kerusi, tetapi kepada calon yang berpotensi untuk menang.
“Bukan kita mengharap (agihan kerusi tertentu), kita mahu calon yang boleh menang – kita akan beri. Kita tidak tamak. Kalau kita boleh menang, kita tanding. Kita perlu fleksibel.
“Kali terakhir kita bertanding 41 kerusi, jadi saya berharap (boleh bertanding 41 kerusi juga),” katanya.