Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAPENDIDIKANUPM rangkul kejuaraan FEKAZ 2025, tewaskan juara bertahan USM

UPM rangkul kejuaraan FEKAZ 2025, tewaskan juara bertahan USM

- Advertisement -

PULAU PINANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara Festival Kesenian Zapin (FEKAZ) 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Universiti Sains Malaysia (USM), sekali gus membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai RM2,000.

Dengan tema “Lautan Seni, Gema Zapin Terpatri”, festival anjuran Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR USM) itu menghimpunkan lapan universiti awam ternama seluruh negara dalam satu pentas gemalai zapin penuh keindahan budaya dan tradisi.

UPM berjaya menundukkan tuan rumah dan juara bertahan, USM, dalam saingan sengit yang turut disertai Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Naib Johan dirangkul oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala tempat ketiga menjadi milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Universiti Kuala Lumpur pula membawa pulang Anugerah Khas Juri, manakala UPM menggandakan kejayaan dengan turut meraih Anugerah Busana Terbaik dan Anugerah Koreografi Terbaik.

Ketika ditemui MYBERITA usai persembahan, wakil penari UPM, Muhammad Afiq Hazmi Mohd Zamri, tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan kegembiraannya.

“Alhamdulillah syukur, kata-kata pertama yang keluar daripada para penari. Merasakan segala usaha titik peluh yang telah dicurahkan selama ini terbayar dengan kejayaan yang amat bermakna. Kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Tangisan dan jeritan keseronokkan yang diluahkan selepas semua keletihan, kepenatan dan keringat diberikan ganjaran yang setimpal,” katanya.

Menurut Afiq, cabaran terbesar kumpulan mereka adalah dari segi penyediaan busana yang mematuhi kriteria Yayasan Warisan Johor serta kelewatan menerima lagu rasmi penuh dengan lirik dan instrumental, memaksa mereka berlatih hanya dengan versi demo tanpa taksim masuk dan keluar.

“Namun kami yakin pada kekuatan pasukan kali ini. Persembahan kami dibarisi 12 penari lelaki sepenuhnya — satu kelainan berbanding tahun sebelumnya, memandangkan kebolehan penari lelaki UPM pada tahun ini berada di tahap tertinggi. Mereka juga didedahkan kepada penghayatan makna lagu secara mendalam,” jelasnya lagi.

Kejayaan ini turut didorong oleh sentuhan koreografer, Norsaiful Bahri Abdul Habib, bersama barisan penari lelaki yang terdiri daripada Muhammad Afiq Hazmi Mohd Zamri, Hasnulhakimi Hasnulaliudin, ⁠Mohamad Raziq Irfan Rezduan, ⁠Muhammad Radzly Akhly Shamsuar, ⁠Muhammad Haziq Hakim Yazid, Muhammad Hafizuddin Radzali, Muhammad Khabir Mohhar, Muhammad Rahimi Mohd Rosdi, ⁠Mohammad Ilman Wafey Mat Din, Muhammad Akif Amin Karma Amin, Mohammad Saifulnizam Mohammud dan Muhammad Asraff Ambia Adlishah.

Festival itu bukan sahaja menjadi medan kompetitif, malah mengangkat martabat zapin sebagai warisan seni Melayu yang terus hidup merentas generasi.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, Hanis Musalman Salehan dan turut dihadiri Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Prof. Dr. Azizah Omar, mewakili Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN