PULAU PINANG – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Dasar mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh kesedaran pelajar terhadap isu keselamatan dan kesaksamaan gender melalui penganjuran program Bicara Eksklusif Bersama PUU: Gangguan Seksual & Pemerkasaan Wanita, pada Khamis.
Dilancarkan buat pertama kali pada Sidang Akademik 2024/2025, inisiatif ini dirangka khusus selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 5: Kesamarataan Gender, dengan memberi tumpuan kepada pemahaman hak perundangan pelajar dan usaha membanteras gangguan seksual dalam persekitaran institusi pendidikan tinggi.

Program ini menghimpunkan 30 pelajar terpilih daripada tiga kampus USM iaitu Kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan yang diadakan dalam satu sesi tertutup bersama Penasihat Undang-Undang (PUU) universiti.
Pendekatan santai namun berfokus ini membolehkan peserta berinteraksi secara langsung dalam mendapatkan maklumat sahih berkaitan hak pelajar, mekanisme perlindungan, serta prosedur pelaporan kes gangguan seksual.

Menurut wakil MPP USM, Zulhilmi Rashid, penganjuran program ini merupakan salah satu usaha menyemai kefahaman undang-undang dalam kalangan pelajar sambil memupuk budaya dialog terbuka berkaitan isu-isu sensitif yang sering diabaikan.
“Isu gangguan seksual bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Menerusi program ini, pelajar bukan sahaja diberikan ruang untuk memahami hak mereka, tetapi turut diajar bagaimana untuk bertindak dengan yakin dan bijak jika berdepan situasi sedemikian,” katanya ketika ditemui MYBERITA selepas tamat program berkenaan.
Zulhilmi turut menegaskan bahawa inisiatif seperti ini penting dalam memastikan universiti kekal sebagai ruang selamat, terbuka dan menyokong kebajikan semua pelajar tanpa mengira jantina.

Bagi pelajar tahun dua dari Kampus Induk USM, sesi tersebut membuka ruang kesedaran yang lebih luas terhadap peranan pelajar dalam membela hak diri dan rakan-rakan sekampus.
“Saya sebelum ini kurang jelas tentang prosedur jika berlaku gangguan seksual. Tapi melalui penerangan PUU, saya lebih yakin dan tahu ke mana boleh dituju serta bagaimana prosesnya. Program ini sangat bermanfaat dan perlu diteruskan,” ujarnya.
Antara pengisian utama dalam program tersebut termasuk pembentangan khas PUU, simulasi ringkas berkaitan prosedur aduan, serta diskusi interaktif mengenai cabaran pelajar dalam menangani isu berkaitan keselamatan dan diskriminasi gender.
MPP optimis untuk meneruskan program ini secara berkala dan dalam skala lebih besar, bagi memastikan akses kepada ilmu advokasi dan perundangan dapat diperluas kepada seluruh warga kampus dalam usaha berterusan membina komuniti yang lebih selamat, adil dan inklusif.