SEREMBAN – Seorang pemuda berusia 20 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah van yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1, berdekatan persimpangan lampu isyarat Matahari Height menghala ke Paroi, di sini, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12.10 tengah malam itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Senawang menuju ke Bahau.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu van dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah lalu melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah sebelah kiri.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk tindakan lanjut.
Mohamad Hatta turut memaklumkan bahawa pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Ujian saringan alkohol terhadapnya juga didapati negatif.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Difahamkan, lokasi kejadian merupakan kawasan kemalangan maut yang sama pada Mac lalu, membabitkan tiga sekawan yang dirempuh sebuah kereta Honda Jazz yang turut dipercayai melanggar lampu isyarat merah.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman dashcam memaparkan detik van berkenaan melanggar lampu isyarat sebelum merempuh motosikal mangsa. Turut tular, video menyayat hati seorang wanita dipercayai ibu mangsa meraung sambil dipeluk suaminya sebaik tiba di lokasi kejadian, selepas menyedari anaknya telah meninggal dunia.
Suasana pilu menyelubungi kawasan apabila orang ramai dilihat mengerumuni tempat kejadian.