SUNGAI DUA – Persatuan anak negeri di Universiti Sains Malaysia (USM) tampil menuntut penjelasan berhubung ketelusan sebut harga bagi penyewaan fasiliti kampus, khususnya melibatkan penggunaan Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) serta peralatan audio dan visual.
Perkara itu dibangkitkan oleh Fasirah Lawila dari Perkumpulan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) dalam Sidang Parlimen Mahasiswa Siri 2, Sidang Akademik 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama USM, hari ini.
Menurut Fasirah, terdapat dakwaan bahawa kadar sewaan fasiliti kampus sering berubah-ubah mengikut persatuan negeri yang membuat permohonan. Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa situasi ini boleh menimbulkan persepsi berat sebelah dan ketidaktelusan dalam pengurusan fasiliti universiti.
“Pihak pengurusan perlu menyediakan satu garis panduan harga yang jelas dan boleh diakses oleh semua persatuan pelajar, terutamanya melibatkan persatuan anak negeri yang sering menganjurkan program berskala besar,” katanya.
Usul tersebut turut disokong dan dibahaskan oleh Fadzlin Najwa, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, yang menyatakan bahawa ketelusan dalam sistem penyewaan adalah penting agar tiada persatuan terasa dipinggirkan atau dilayan secara tidak adil.
Turut bangkit menyuarakan perkara sama ialah Nik Nazmi Amin Nik Aziz dari Himpunan Anak-Anak Kelantan (HAAK) yang mendedahkan wujud perbezaan harga yang ketara antara satu persatuan negeri dengan yang lain.
“Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, kadar sewa yang dikenakan boleh berbeza sehingga 50 peratus antara satu persatuan anak negeri dengan yang lain, walaupun permohonan dibuat untuk fasiliti dan keperluan teknikal yang serupa. Ini jelas menunjukkan wujudnya ketidakkonsistenan yang perlu ditangani segera,” katanya.
Tambah beliau, satu sistem sebut harga seragam dan telus perlu diperkenalkan, termasuk senarai harga rasmi yang boleh dirujuk secara dalam talian oleh semua pertubuhan pelajar.
Usul tersebut telah mendapat perhatian dan sokongan sebahagian besar perwakilan dan akan dibawa untuk pertimbangan lanjut oleh pihak pengurusan universiti.
Sidang Parlimen Mahasiswa USM ini merupakan platform rasmi bagi wakil pelajar membincangkan isu-isu semasa yang memberi kesan langsung kepada kehidupan dan aktiviti pelajar di kampus.