Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAJENAYAHWanita ditahan curi beg di pejabat bomba sukarela

Wanita ditahan curi beg di pejabat bomba sukarela

- Advertisement -

BUTTERWORTH – Seorang wanita tempatan ditahan polis kerana disyaki mencuri sebuah beg sandang milik seorang lelaki di pejabat Bomba Sukarela, Jalan Pantai Bersih, Bagan Ajam, pada Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden C Tharmalingam berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam pada 20 April lalu apabila suspek yang menaiki motosikal dilihat memasuki kawasan pejabat berkenaan.

“Ketika kejadian, pengadu yang juga anggota bomba sukarela sedang tidur dan hanya menyedari beg miliknya hilang selepas terjaga,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, siasatan awal dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wanita terbabit masuk ke pejabat berkenaan sebelum melarikan beg sandang milik pengadu.

“Selepas mengambil beg tersebut, suspek terus melarikan diri dengan motosikal. Rakaman CCTV turut menunjukkan suspek memakai baju merah dan bertopi keledar semasa kejadian,” jelasnya.

Tular sebelum ini satu rakaman video CCTV berdurasi pendek yang memaparkan aksi wanita tersebut mencuri beg sambil seorang lelaki kelihatan tidur di atas sofa berhampiran tanpa menyedari kejadian.

Menurut Tharmalingam, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing ke atasnya juga didapati negatif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mensensasikan kejadian ini kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Nike Carlsdeon Anak Tony Enggang di talian 04-576 2222 sambungan 2275, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN