Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMAJENAYAHWanita warga Vietnam didakwa memandu mabuk menyebabkan kematian seorang remaja mengaku tidak...

Wanita warga Vietnam didakwa memandu mabuk menyebabkan kematian seorang remaja mengaku tidak bersalah

- Advertisement -

GEORGE TOWN – Seorang suri rumah warga Vietnam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan dua remaja dalam kejadian pada Februari lalu.

Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memandu kereta Honda Jazz di bawah pengaruh alkohol sehingga gagal mengawal kenderaan dengan baik, menyebabkan kematian seorang remaja lelaki, Thomas Ch’ng Kai Hen, 18.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu dalam keadaan sama sehingga mencederakan seorang lagi remaja, Ooi Qi Heng, 18.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Jelutong pada 19 Februari lalu, sekitar jam 9.48 malam.

Nguyen didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) yang memperuntukkan hukuman penjara serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini, memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh disimpan mahkamah dan lesen memandunya digantung sementara sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, K Mahendran, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja dan hanya bergantung kepada suaminya, seorang penjaja berpendapatan RM3,000 sebulan untuk menyara tiga anak mereka yang berusia 16, 10, dan setahun.

Sementara itu, peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, RSN Rayer, meminta mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.

Sekiranya jaminan diberikan, beliau mencadangkan jumlah tinggi dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap hari dan dijamin oleh dua warga tempatan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.

Lesen memandu tertuduh turut digantung sementara dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditangguhkan sehingga 21 April untuk serahan dokumen.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN