KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas berusia 79 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah perigi di Kampung Lumpur, Alor Pasir, di sini tengah hari tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Mohd Zain Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui sistem MERS999 pada jam 12.35 tengah hari.
Menurut beliau, sepasukan enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai, dan tiba pada jam 1.17 tengah hari.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan bahawa mangsa, Hasmah Husin, telah dikeluarkan dari perigi oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai.
“Pemeriksaan lanjut oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan tentang bahaya struktur lama seperti perigi yang tidak dipagari atau ditutup dengan selamat, terutama bagi golongan warga emas.