KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Pengkalan Arang di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 malam itu, mangsa, Ali Mohamed, 77, yang menunggang motosikal Honda Wave, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu Ford Ranger terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal keluar secara tiba-tiba dari bahu kiri jalan dan melintas masuk ke laluan utama sebelum dirempuh kenderaan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Gong Badak.
“Mangsa dipercayai baru pulang dari surau sebelum kemalangan berlaku.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
ACP Azli turut meminta orang awam atau saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan yang kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.