KUALA LUMPUR – Aliran trafik di lebuh raya menghala ke Lembah Klang mula sesak pada hari kelima sambutan Aidilfitri berikutan pertambahan jumlah kenderaan menuju ke ibu kota.
Berdasarkan maklumat di laman sosial X rasmi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), kesesakan dilaporkan berlaku di beberapa laluan utama Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, termasuk kawasan Bentong dan Lentang.
Trafik dilaporkan sesak sejauh 13.3 kilometer (km) dari KM75.1 hingga Plaza Tol Bentong (Karak-Bentong) serta 10.9 km dari Plaza Tol Bentong hingga KM50.9 antara Bentong dan Lentang. Laluan ini menjadi tumpuan utama pengguna lebuh raya, termasuk perantau yang kembali ke Lembah Klang dari Kelantan, Terengganu, dan Pahang selepas cuti panjang Aidilfitri.
Sementara itu, peningkatan jumlah kenderaan di LPT Fasa 1 (Gombak-Kuantan-Jabor) turut menyebabkan trafik perlahan sejauh 1.2 km dari KM80.7 di Lanchang hingga Plaza Tol Karak menjelang tengah hari tadi.
Aliran trafik dijangka semakin padat dalam tempoh beberapa jam susulan kepulangan warga kota ke ibu negara. Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan akaun X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta akaun X @llmtrafik.