Ahad, 20 Julai 2025
UTAMABELASUNGKAWAWartawan Melodi Nas Ahmad meninggal dunia

Wartawan Melodi Nas Ahmad meninggal dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dunia kewartawanan tanah air kehilangan seorang tokoh berpengaruh apabila wartawan hiburan terkenal, Md Nasir Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nas Ahmad, dilaporkan telah meninggal dunia pagi tadi.

Perkhabaran duka itu dimaklumkan menerusi perkongsian di laman Facebook personaliti televisyen, Fedtri Yahya.

“Buat yang mengenali wartawan Nas Ahmad, beliau telah meninggal dunia pagi tadi.

Innalillahiwainnailaihirojiun.

Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin ya Rabbal ‘Alamin,” tulis Fedtri.

Allahyarham yang sinonim dengan program hiburan Melodi di TV3 pernah menjadi antara nama besar dalam bidang kewartawanan hiburan suatu ketika dahulu. Beliau dikenali sebagai figura yang lantang memperjuangkan kebajikan artis dan insan seni, selain komited menyampaikan berita secara telus dan beretika.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan kesihatan wartawan veteran itu dengan menyampaikan sumbangan menerusi Setiausaha Politik beliau, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Nas Ahmad di kediamannya di Kota Damansara, Selangor.

Dalam kunjungan tersebut, Ahmad Farhan memaklumkan bahawa Allahyarham berdepan pelbagai cabaran kesihatan termasuk masalah penglihatan akibat katarak sejak beberapa tahun lalu, yang menyebabkan beliau tidak lagi mampu bekerja.

“Pendapatan yang dahulunya menjadi sumber rezeki kini terputus, dan beliau hanya mampu bergantung kepada sokongan ahli keluarga serta bantuan yang ada. Dalam pertemuan ini, saya mendengar sendiri rintihan dan cabaran yang beliau hadapi – kos rawatan yang semakin tinggi, keperluan keluarga yang perlu dipikul, dan keterbatasan akibat keadaan kesihatannya,” katanya.

Pemergian Allahyarham Nas Ahmad pastinya meninggalkan kesan mendalam buat rakan-rakan seindustri serta peminat dunia hiburan tanah air. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA