KUALA LUMPUR – Isteri kepada pelawak dan usahawan terkenal, Shuib, iaitu Watie Hanifiah, reda dengan kehilangan cahaya mata selepas disahkan mengalami keguguran pada 11 Mei lalu.
Menerusi satu hantaran menyentuh hati di laman Instagram, Watie meluahkan rasa syukur meskipun diuji dengan kehilangan yang dianggap paling berat dalam hidupnya.
“Mummy reda walaupun ianya terasa perit untuk Mummy hadapi. Mummy tetap bersyukur Allah titipkan kamu walau hanya untuk beberapa bulan yang indah,” tulisnya.
Menurut Watie, pengalaman itu memberikan pengajaran besar dalam hidupnya agar lebih menghargai anak-anak dan keluarga yang ada.
“Mungkin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat Mummy. Mungkin Mummy masih belum mampu jadi Mummy yang baik dan adil buat kamu, kakak dan abang-abang kamu.
“Dan mungkin Allah nak Mummy lebih menghargai anak-anak yang Mummy ada sebelum adanya kamu,” katanya lagi.
Dalam perkongsian sama, Watie turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan kata-kata semangat sepanjang dirinya berdepan dugaan tersebut.
“Terima kasih untuk kata-kata semangat dari kalian semua. Mummy tak mampu lagi untuk berjumpa dan berbalas. Maaf atas kerja-kerja yang tergendala,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan masih berada dalam fasa kesedihan dan memohon ruang untuk bertenang sebelum kembali menjalani rutin seperti biasa.
Sebelum ini MYBERITA, melaporakan berkaitan spekulasi yang tular dalam kalangan netizen yang mendakwa pasangan tersebut bakal menimang cahaya mata selepas ternampak perubahan fizikal pada Watie.
Untuk rekod, Shuib dan Watie telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.