KUALA LUMPUR – Presiden China, Xi Jinping diberi sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara sempena Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia bermula semalam atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ketibaan Xi di Istana Negara pada jam 10.30 pagi Rabu disambut mesra oleh Seri Paduka Baginda, bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri Kabinet.
Upacara rasmi dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dan disusuli dengan tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja. Xi kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang melibatkan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.
Presiden China itu turut disambut dengan persembahan tarian tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sebagai penghormatan budaya.
Sultan Ibrahim turut berkenan mengadakan pertemuan bersama Xi dan delegasinya di Dewan Seri Maharaja, termasuk menyaksikan majlis pertukaran cendera kenangan. Xi dan rombongannya juga diraikan dalam Majlis Jamuan Negara di Dewan Santapan Utama Istana Negara.
Lawatan kali ini adalah kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan terakhirnya pada 2013 yang menyaksikan hubungan dua hala dipertingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Xi dijadual mengadakan pertemuan dengan Anwar petang ini bagi membincangkan kerjasama dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Perdana Menteri turut akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk meraikan kehadiran Presiden China itu.
Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lalu. Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan nilai dagangan mencecah RM484.12 bilion pada 2024.