SEPANG – Presiden China, Xi Jinping hari ini berlepas ke Kemboja selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia yang bermula sejak Selasa lalu.
Pesawat khas Air China yang membawa Xi bersama delegasi rasmi berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.04 pagi.
Sebelum berlepas, satu istiadat kawalan kehormatan telah diadakan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Kehormat) di Kompleks Bunga Raya sebagai penghormatan kepada ketua negara China itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut hadir bagi mengiringi kepulangan delegasi berkenaan.
Terdahulu, MYBERITA melaporkan Xi tiba di Malaysia pada petang Selasa lalu, kira-kira pukul 6.30 petang, sebagai sebahagian daripada siri lawatan negara ke Asia Tenggara.
Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak beberapa tahun dan disifatkan sebagai simbol pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.