SEPANG – Presiden China, Xi Jinping selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.30 petang tadi bagi memulakan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis.
Ketibaan beliau bersama delegasi China yang menaiki pesawat Air China jenis Boeing 747 disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Bunga Raya, KLIA. Turut hadir menyambut ketibaan tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Delegasi Presiden Xi turut diberikan sambutan rasmi yang diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan Malaysia, melambangkan keunikan dan kepelbagaian budaya negara.
Lawatan ini dilakukan atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik serta kerjasama perdagangan antara Putrajaya dan Beijing.
Sepanjang lawatan tersebut, Presiden Xi akan diberikan penghormatan dengan istiadat sambutan negara, diikuti dengan kunjungan menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur. Seri Paduka Baginda turut berkenan meraikan Presiden China itu dan delegasinya dalam satu majlis santapan negara.
Xi juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan kerjasama strategik antara kedua-dua negara serta bertukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian serta nota antara Malaysia dan China.
Bagi meraikan kunjungan tersebut, Perdana Menteri akan menghoskan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Sebagai rekod, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada tahun 2024.