PUTRAJAYA – Presiden China, Xi Jinping menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu mencapai kejayaan yang lebih gemilang di bawah kepimpinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keyakinan itu dizahirkan beliau semasa berucap pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh Perdana Menteri di kediaman rasmi Seri Perdana, di sini malam tadi.
Menurut Jinping, beliau menyaksikan perubahan pesat yang telah berlaku di Malaysia sejak lawatan terakhirnya kira-kira 12 tahun lalu.
“Semasa lawatan saya pada 2013, saya amat terpesona dengan keindahan alam semula jadi Malaysia, kepelbagaian budaya dan kebaikan hati rakyatnya.
“Saya tidak ragu-ragu bahawa di bawah kepimpinan Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Anwar, Malaysia akan menjadi lebih berdaya maju dan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam membangunkan Malaysia Madani,” katanya.
Jinping turut menekankan bahawa hubungan antara Malaysia dan China telah berkembang kukuh sepanjang 50 tahun terjalinnya hubungan diplomatik.
“Dari segi politik, kami saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain. Dari segi ekonomi, kami menikmati kerjasama yang saling menguntungkan.
“Dari segi budaya, kami saling belajar dan memperkaya antara satu sama lain. Hubungan ini memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya lagi.
Presiden China itu turut menyifatkan hubungan dua hala Malaysia-China sebagai ‘kukuh seperti batu dan akan terus menjadi lebih teguh’ pada masa akan datang.
Majlis makan malam itu turut dihadiri oleh barisan Jemaah Menteri, pegawai kanan kerajaan, dan delegasi rasmi dari China yang mengiringi Presiden Jinping sempena lawatan rasminya ke Malaysia.