Selasa, 8 Julai 2025
UTAMANASIONALZahid Hamidi tekad perjuang kenaikan elaun sukarelawan APM kepada RM80 sehari

Zahid Hamidi tekad perjuang kenaikan elaun sukarelawan APM kepada RM80 sehari

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan komitmen untuk memperjuangkan kenaikan elaun harian anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daripada RM40 kepada RM80 sehari.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, cadangan itu akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Saya minta agar disamaratakan elaun yang diberikan kepada sukarelawan. Insya-Allah, rakan saya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akan bersama memperjuangkan supaya elaun APM dinaikkan kepada RM80.

“Kita tidak minta lebih, tetapi biarlah ia sama rata dengan lain-lain sukarelawan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Pertahanan Awam ke-73 di sini, hari ini.

Menurut Zahid, penambahan elaun tersebut adalah wajar memandangkan peranan penting yang dimainkan oleh sukarelawan APM, khususnya ketika musim Monsun Timur Laut yang memerlukan pengorbanan besar daripada mereka.

Beliau turut memuji semangat keberanian dan kecekalan anggota APM, terutamanya ketika terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat semasa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, awal April lalu.

“Kita tidak boleh menafikan peranan besar anggota APM dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dalam pelbagai situasi kecemasan,” tambahnya.

Majlis penutupan tersebut turut diserikan dengan demonstrasi operasi menyelamat dan penyampaian anugerah kepada anggota sukarelawan cemerlang.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN