KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendengar pernyataan dari Pakar Perubatan Forensik, Dr. Rohayu Shahar Adnan, yang mengesahkan bahawa kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, meninggal dunia akibat jerutan kuat di leher.
Mayat Zayn, yang berusia enam tahun pada ketika kejadian, ditemui di aliran anak sungai berdekatan Apartment Idaman di Damansara Damai pada Disember 2023.
Dr. Rohayu, yang bertugas di Hospital Pasir Gudang Johor, turut menjelaskan bahawa selain kecederaan jerutan, mayat si mati juga menunjukkan luka potongan dan hirisan pada telinga, serta objek asing yang dijumpai pada rongga tekak sebelah kanan dan dalam perut si mati.
Menurut beliau, lelangit si mati turut lebam, menunjukkan benda asing telah dimasukkan atau ditolak secara paksa ke dalam mulut.
“Walaupun benda asing ini tidak menyebabkan kematian, ia menunjukkan ada percubaan untuk menyekat saluran pernafasan, namun bukan disebabkan oleh tercekik,” kata Dr. Rohayu dalam pernyataan saksi.
Dr. Rohayu juga mendedahkan bahawa terdapat luka koyak dan lelasan pada bahagian dubur si mati akibat kemasukan objek tumpul, serta luka hirisan pada lengan kanan dan kiri si mati. Semua kecederaan ini didapati adalah ‘perimortem’, kecederaan yang terjadi sejurus sebelum kematian, yang menunjukkan adanya reaksi sistem pertahanan tubuh.
Tambah beliau, kecederaan pada leher Zayn yang menyebabkan lebam pada otot leher dan kelenjar tiroid menunjukkan tekanan yang kuat, cukup untuk menyekat kemasukan oksigen ke paru-paru dan otak, yang akhirnya menyebabkan kematian.
“Sebab kematian adalah akibat jerutan ligatur (ligature strangulation),” ujarnya.
Dr. Rohayu melakukan bedah siasat pada mayat Zayn pada 7 Disember 2023, di Hospital Sungai Buloh, di mana mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui dalam keadaan membusuk dengan tanda-tanda rendaman air pada tangan dan kaki.
Sementara itu, pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi, manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, yang berusia 30 tahun, didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin, yang mengakibatkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada antara 5 dan 6 Disember 2023.
Kedua-dua tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh akan bersambung esok.