Iklanspot_img

“Di sini kasih sayang membenih subur”, PM Anwar kunjung rumah asal di Cherok Tok Kun

BUKIT MERTAJAM – Dalam kesibukan tugas rasmi di Pulau Pinang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat ‘mencuri’ sedikit masa untuk kembali ke tempat yang begitu dekat di hatinya – rumah asal keluarga beliau di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam.

Rumah kecil berdinding papan dan berlantaikan simen itu bukan sekadar kediaman zaman kanak-kanak, sebaliknya merupakan tempat bermulanya perjalanan hidup penuh liku seorang pemimpin negara.

“Rumah ini dulu sempit dan serba sederhana, tapi di sini kasih sayang membenih subur,” tulis beliau menerusi hantaran di Facebook pagi ini, yang sehingga jam 8.45 pagi telah menerima lebih 17,000 tanda suka dan dikongsi 532 kali.

Dalam hantaran penuh emosi itu, Anwar turut berkongsi momen menyentuh hati apabila memeluk abangnya, Idrus, dan adiknya, Marzuki – satu pertautan semula kenangan masa lalu yang menjadi saksi kepada jerih perih ibu bapa mereka membesarkan anak-anak dalam serba kekurangan.

“Kami membesar bermain tanpa rasa takut, menangis dan ketawa bersama. Setiap sudut rumah menyimpan seribu cerita, lantainya saksi pada langkah-langkah kecil yang kini melonjak saya sejauh ini,” tulis Anwar yang jelas terharu dengan kunjungan singkat itu.

Menurut Perdana Menteri, kediaman asalnya itu mengajarnya bahawa erti kehidupan bukan sekadar mengejar kejayaan material, tetapi mencakupi perjuangan yang disemai dengan kasih sayang, doa dan pengorbanan keluarga.

“Ada rindu yang terubat, ada kenangan yang kembali mekar. Pelukan ini bukan sekadar pelukan darah daging, tetapi pertautan memori,” tulisnya.

Bagi Anwar, sejauh mana pun beliau terbang tinggi dalam dunia politik dan pentadbiran negara, akar dirinya tetap kukuh di Cherok Tok Kun, tempat segalanya bermula.

“Ini asal saya – Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam. Dan setiap kali kembali, hati ini terus-terusan diingatkan bahawa semua yang saya damba dan perjuangkan hari ini bermula dari rumah ini, dari keluarga ini, dari cinta kudus yang tidak pernah terpadamkan,” tambah beliau lagi.

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITA
admin@portalmyberita.com
Iklanspot_img
ARTIKEL BERKAITAN
Iklanspot_img
Iklan