BANGI – Festival Seni Suara Alunan Melodi UKM 2025 (FestSAM’25) mencatat penyertaan tertinggi sejak ia dianjurkan, sekali gus melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang disasarkan oleh penganjur.
Menurut Ketua Pengarah Projek FestSAM’25, Joshua Panti Anak Frankie, sambutan luar biasa kali ini membuktikan minat pelajar terhadap seni suara tradisional masih kuat dalam kalangan generasi muda.
“Bagi saya, program pada malam ini sudah melebihi KPI asal. Tahun ini kita terima 12 penyertaan sekolah rendah, 13 sekolah menengah dan 14 daripada institusi pengajian tinggi (IPT). Ia satu peningkatan yang amat membanggakan,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan tema “P. Ramlee dan Saloma” bertujuan menghidupkan kembali legasi dua legenda seni tanah air yang semakin dilupakan generasi kini.
“Kita mahu anak muda kenal semula karya mereka. Lagu-lagu P. Ramlee dan Saloma semakin pudar, jadi kami tampil dengan tema ini untuk mengingatkan semula keindahan muzik Melayu klasik,” jelas Joshua.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pentingnya kesedaran dalam kalangan pelajar untuk menghargai akar budaya sendiri dengan cara mendengar, meneliti dan memahami semula sejarah muzik tempatan.
“Kita kena korek balik lagu-lagu lama, tanya ibu bapa atau orang tua tentang asal-usul muzik kita. Jangan rasa muzik moden sudah cukup kerana banyak nilai dan teknik boleh dipelajari daripada karya klasik,” ujarnya.
Mengulas isu artis baharu yang muncul tanpa asas ilmu muzik, Joshua menasihatkan agar bakat muda sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dan etika profesional supaya tidak mudah tersilap langkah apabila dikenali ramai.
“Ramai yang naik cepat kerana populariti, tapi jatuh sebab tiada ilmu untuk urus imej dan karier. Jadi, selain mencungkil bakat, program seperti ini perlu ajar mereka langkah seterusnya selepas popular,” katanya.
Joshua turut memberi jaminan bahawa penganjuran FestSAM akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang dengan konsep dan kategori yang lebih pelbagai, termasuk gabungan budaya pelbagai kaum di Malaysia.
“Sambutan hangat tahun ini bukti jelas bahawa tradisi muzik Melayu masih relevan. Kami akan teruskan FestSAM kerana impaknya terhadap anak muda amat besar dan positif,” tambahnya.
