KUALA LUMPUR – Penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam mengakui wujudnya penglibatan segelintir individu dalam industri perfileman dan drama tempatan dengan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan kru produksi, namun menegaskan jumlahnya adalah kecil dan tidak mewakili keseluruhan industri.
Menurut beliau, isu tersebut bukanlah sesuatu yang baharu dan berlaku hampir dalam semua sektor pekerjaan, selari dengan realiti masalah dadah yang masih membelenggu negara.
“Dalam industri ini, saya tak nafikan memang ada berlaku, sama ada melibatkan pelakon atau kru, terutamanya kru. Tapi jumlahnya kecil, mungkin sekitar 10 peratus sahaja,” katanya ketika ditemui MYBERITA selepas menyaksikan tayangan filem pendek pelajar UiTM di Damansara, malam tadi.
Yusof berkata, masalah dadah kini bukan lagi isu terpencil dan turut menular ke kawasan luar bandar, sekali gus menyukarkan proses kawalan serta pencegahan sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua individu yang terlibat dalam industri hiburan membersihkan diri dan menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan imej serta kredibiliti profesion, khususnya penyalahgunaan dadah.
“Kalau terlibat, pergilah berubat, masuk pusat pemulihan. Kita cuba perbaiki keadaan ini demi menjaga imej produksi, imej kru dan juga imej pelakon,” katanya.
Tambah beliau, proses tapisan dalam produksi sememangnya dilakukan, namun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana individu yang terlibat selalunya tidak mengaku sehinggalah tindakan undang-undang diambil.
Tambah penerbit filem Blood Brothers itu turut menegaskan bahawa isu penyalahgunaan dadah bukan hanya berlaku dalam industri perfileman dan drama, malah boleh menular dalam mana-mana sektor termasuk pasukan keselamatan jika individu terdedah kepada pengaruh pergaulan yang salah.
Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi kemajuan filem terbaharu berjudul Black Ops arahan Syafiq Yusof yang kini telah mencapai kira-kira 60 peratus proses penggambaran dan dijangka mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
Menurutnya, filem tersebut menampilkan kelainan dari segi persembahan dan kandungan cerita, termasuk kerjasama dengan seorang pengarah dari Hong Kong.
“Kita harap dengan sokongan masyarakat Malaysia, filem ini dapat sambutan yang baik. Soal box office kita serahkan kepada rezeki dan ketentuan Allah,” katanya.
Datuk Yusof Haslam merupakan penerbit dan antara tokoh penting industri perfileman tanah air yang aktif menyuarakan isu profesionalisme serta kebajikan pemain industri.




