KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu, Muhammad Affizy Mohd Khairy Rajan atau lebih dikenali sebagai Agy tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi melibatkan muzik video (MV) lagu Aidilfitri terbaharunya berjudul Lala Raya, yang didakwa menyentuh sensitiviti agama.
Agy berkata, dia memohon maaf dengan seikhlas hati atas kekhilafan yang berlaku dan menegaskan tidak pernah mempunyai niat untuk menyinggung mana-mana pihak.
“Saya memohon maaf dengan seikhlas hati, dengan rendah diri dari hujung rambut sampai hujung kaki. Sejujurnya memang tak ada niat langsung di ingatan, fikiran mahupun hati untuk menghina mana-mana pihak, terutama berkaitan agama, bangsa dan kaum,” katanya.
Kontroversi tercetus apabila terdapat dakwaan bahawa salah satu babak dalam MV tersebut yang memaparkan adegan makan di meja panjang dikatakan menyerupai lukisan ikonik The Last Supper.
Mengulas perkara itu, Agy menjelaskan adegan berkenaan hanyalah memaparkan dirinya bersama keluarga menikmati juadah di meja makan sebagai simbolik budaya makan beradab ketika Aidilfitri, dan bukan berniat meniru atau merujuk kepada karya berkenaan.
“Saya tahu ada yang kata mungkin ada persamaan, tapi sebenarnya ia hanya babak saya dan keluarga makan di meja bersama. Ia sekadar simbolik makan beradab,” ujarnya.
Sebagai tanda bertanggungjawab, Agy memaklumkan pihaknya mengambil tindakan drastik dengan menurunkan MV asal daripada platform tontonan dan melakukan proses suntingan semula. Babak meja makan tersebut telah dibuang sepenuhnya dalam versi terbaharu yang dimuat naik semula bagi menghormati sensitiviti masyarakat.
Selain itu, pihak pengurusan juga sedang dalam proses menukar ‘cover art’ lagu berkenaan di platform penstriman muzik seperti Spotify dan iTunes, yang dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga hari.
Dalam masa sama, Agy turut memohon agar orang ramai tidak membabitkan ahli keluarga serta rakan-rakannya yang muncul dalam MV tersebut kerana mereka hanya bertindak sebagai sistem sokongan dan tidak terlibat dalam keputusan kreatif.
Kontroversi berkenaan menjadi peringatan kepada penggiat seni agar lebih peka terhadap elemen visual dan simbolik dalam karya, khususnya apabila melibatkan aspek keagamaan dan sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

